KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer muda, Yuna yang ditarik
kemenangannya dalam kategori utama Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik
ke-18 (AIM18) menganggap ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan
tidak bercadang mengambil sebarang tindakan undang-undang.
Dia yang bakal memasarkan album Inggeris untuk pasaran Amerika
Syarikat berkata, penjelasan sepatutnya bukan daripada pihaknya
sebaliknya Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selaku penganjur
perlu mengadakan sidang akhbar dan menjelaskan dengan terperinci
bagaimana masalah itu berlaku.
“Pada saya perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ia membabitkan majlis anugerah berprestij. Apatah lagi AIM itu sendiri mempunyai tanggungjawab besar untuk mengangkat industri muzik tempatan.
“Saya membesar dengan mengagumi penganjuran AIM sebelum ini.
Apabila memenangi anugerah yang amat saya hargai dan ditarik balik atas
kesilapan yang dikatakan sudah tentu rasa terkilan,” katanya ketika
dihubungi, semalam.
Harian Metro difahamkan RIM dijadualkan mengadakan sidang media bagi menjelaskan mengenai kesilapan teknikal yang berlaku itu pada petang ini. “Saya diberitahu mengenai kesilapan itu dua hari lalu,” kata Yuna.
Pada AIM18 yang berlangsung 12 November lalu Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai diumumkan pemenang Lagu Terbaik menerusi singlenya, Penakut.
Selain Lagu Terbaik, pada majlis anugerah berprestij yang
mengiktiraf karya terbaik karyawan muzik tempatan itu, Yuna turut
memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) dan
Anugerah Kembara.
Yuna berkata, kesilapan yang berlaku akan menyebabkan ramai pihak akan hilang keyakinan terhadap RIM dan penganjuran AIM itu sendiri.
Menurutnya, lebih membimbangkan kemenangan bagi kategori lain
dimenangi penggiat muzik tempatan turut dipertikaikan kerana mungkin
kesilapan berlaku. Katanya, sejak awal lagi dia mengikuti segala
syarat diberikan RIM untuk mempertandingkan karya dihasilkan dalam AIM,
terutama membabitkan pencalonan karya dihasilkan harus 100 peratus anak
tempatan.
Syarat ditetapkan juga menyebabkan albumnya tidak dipertandingkan kerana tiga daripada lagu dihasilkan dikatakan tidak layak kerana ia untuk pasaran luar.
“Saya akur dengan setiap syarat diberikan, tetapi apabila kemenangan ditarik balik sudah tentu timbul kekeliruan. Bukan saja kepada saya, tetapi seluruh penggiat industri muzik tempatan.
“Tidak keterlaluan jika dikatakan ada pihak melihat apa yang berlaku sinis dan kelakar. Apatah lagi penganjuran AIM membabitkan dua entiti besar iaitu RIM sendiri dan jabatan audit diiktiraf,” katanya.
Kata Yuna lagi, sebenarnya sewaktu diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Lagu Terbaik, dia sudah berasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku, kerana syarat untuk memenangi anugerah utama itu, lagu dihasilkan dan didendangkan haruslah menjuarai kategori dipertandingkan.
“Ketika majlis sidang akhbar perkara sama turut ditanya wakil media, bagaimanapun pihak penganjur mengatakan untuk kategori Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik dinilai juri berbeza. Perkara itu sudah dimaklumkan dan semua pihak faham.
“Saya sendiri akur dengan penjelasan itu memandangkan untuk tahun ini ada beberapa perubahan dari sudut syarat dibuat RIM mahupun Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi),” katanya. Metro Online
kesian Yuna taw..tak pe la bukan rezeki diakan..tarik anugerah tak semestinya peminat pun lari juga..Congratulation Anuar Zain :)
0 comments:
Post a Comment